AKTIVITI KOKURIKULUM PLATFORM PEMBENTUKAN KEMAHIRAN INSANIAH DAN KESUKARELAWANAN

PalapesU 5008

NIBONG TEBAL, 18 Januari 2017 - Aktiviti Kokurikulum memainkan peranan yang amat penting sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam proses pembangunan diri seseorang individu dalam melahirkan insan yang mempunyai keseimbangan yang sempurna, berkepimpinan, berketerampilan dan berdaya saing.

Demikian jelas Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni Universiti Sains Malaysia (USM) merangkap Timbalan Komandan Palapes USM, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein sempena perasmian Latihan Kem Tahunan PALAPES Udara Universiti Awam Tahun 2017.

PalapesU 4942

Katanya, menerusi program atau kursus kokurikulum, pelajar akan dapat meningkatkan kemahiran mereka seperti kemahiran komunikasi, kepimpinan, keusahawanan, kesukarelawanan dan seterusnya memiliki kriteria yang diperlukan oleh bakal majikan.

“Universiti menyumbang aktif untuk memastikan tercapainya aspirasi pembangunan negara dalam menghasilkan pelajar yang holistik menerusi kurikulum dan kokurikulum,” tambahnya.

PalapesU 4917

Jelasnya lagi, Latihan Kem Tahunan Pasukan Simpanan Tentera (PALAPES) Udara Universiti Awam Tahun 2017 dilihat dapat membina kemahiran insaniah sebagai keperluan bagi graduan dan kokurikulum merupakan satu platform dalam pembentukan kemahiran insaniah dan kesukarelawanan.

“Saya berharap melalui Latihan Kem Tahunan ini, para Pegawai Kadet dapat memupuk nilai bekerjasama, bersatu padu, saling membantu dan menghormati antara satu sama lain,” katanya lagi.

PalapesU 4861

Latihan Kem Tahunan ini merupakan kemuncak kepada latihan Pegawai Kadet PALAPES Udara yang akan dijalankan selama 15 hari iaitu bermula pada 16 sehingga 30 Januari 2017 yang melibatkan Palapes Udara daripada enam buah Universiti Awam iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi MARA Malaysia (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Kekuatan anggota adalah seramai lebih kurang 1,100 orang terlibat dalam Latihan Kem Tahunan ini yang terdiri daripada 100 orang Pegawai dan Jurulatih serta 1,000 orang Pegawai Muda dan Pegawai Kadet seluruh universiti awam.

PalapesU 4867

Yang hadir sama dalam majlis ini Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Pengarah Pasukan Simpanan Tentera Udara, Kolonel Muhammad Shafiq  Jahudi, Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum, Profesor Madya Dr. Ahmad Tajuddin Othman dan Dekan-Dekan Kampus Kejuruteraan.

Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Faisal Mohamad

xICON-BAKAL PELAJARixICON-PELAJARxICON-IBUBAPAPELAWATxICON-STAFFxICON-ALUMNI