PALAPES LAHIRKAN MAHASISWA BERJATI DIRI CINTAKAN AGAMA BANGSA DAN NEGARA

palapes udara

NIBONG TEBAL, 28 Januari 2017 – Program Latihan Kem Tahunan PALAPES Udara Universiti Awam (UA) Tahun 2017 yang berlangsung selama 15 hari bermula 16 Januari 2017 berakhir dengan meriah pada majlis penutup di Dewan Utama, Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), di sini semalam.

Latihan Kem Tahunan ini merupakan kemuncak kepada latihan Pegawai Kadet PALAPES Udara melibatkan enam buah Universiti Awam iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Sains Malaysia (USM) selaku tuan rumah pada tahun ini.

Kekuatan anggota seramai lebih kurang 1,100 orang terlibat dalam Latihan Kem Tahunan ini yang terdiri daripada 100 orang Pegawai dan Jurulatih serta selebihnya adalah Pegawai Muda dan Pegawai Kadet seluruh universiti awam.

Majlis penutup itu telah disempurnakan oleh Asistan Ketua Staf Tadbir, Brig. Jen. Dr. Ismail Mahuri TUDM.

Katanya, menerusi program kem latihan ini dapat melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang berkualiti seterusnya dapat menyumbang bakti kepada negara.

“Saya yakin, bahawa program yang diadakan pada setiap tahun ini, berjaya membina jati diri dan melahirkan insan yang cintakan agama, bangsa dan negara seterusnya menjadikan anda yang terbaik”’ ujarnya.

Menurutnya lagi, kerjasama erat diantara pihak TUDM dan organisasi awam pada dasarnya telah memberikan manfaat kepada negara.

Pengisian program yang padat dengan pelbagai pertandingan tidak menghalang Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya dengan cemerlang dan dinobatkan sebagai pemenang juara keseluruhan.

Yang hadir sama dalam majlis ini, Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail bersama suami, Datuk Dr. Ahmad Zakaria, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein, Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Pengarah Pasukan Simpanan Tentera Udara, Kolonel Muhammad Shafiq Jahudi, Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum, Profesor Madya Dr. Ahmad Tajuddin Othman dan Ketua-Ketua Jabatan, Kampus Kejuruteraan, USM.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Muhammad Sarif Mhd. Rapiai

xICON-BAKAL PELAJARixICON-PELAJARxICON-IBUBAPAPELAWATxICON-STAFFxICON-ALUMNI