KAMPUS KEJURUTERAAN BUKTIKAN KEMAMPUAN MELALUI LATIHAN KEM TAHUNAN PALAPES UDARA UNIVERSITI AWAM 2017

PalapesU 4861

NIBONG TEBAL, 1 Februari 2017 – Latihan Kem Tahunan PALAPES Udara Universiti Awam 2017 yang berlangsung di sini baru-baru ini jelas membuktikan keupayaan Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai satu pasukan pengurusan yang kukuh serta stabil dari pelbagai sisi.

Perkara ini dinyatakan oleh Pengarah Kampus Kejuruteraan, USM, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah dalam ucapan beliau pada Majlis Penghargaan Jawatankuasa Pelaksana di sini hari ini.

Gambar Pengarah Edit

“Diharapkan, melalui kejayaan penganjuran program latihan berskala besar seperti ini akan membuka minda semua pihak di luar sana bahawa Kampus Kejuruteraan mampu memberikan yang terbaik sekaligus menjadi pengemudi dari pelbagai cabang termasuklah akademik dan bukan akademik,” katanya.

Ahmad Farhan turut menyampaikan ucapan terima kasih beliau di atas keprihatinan dan kerjasama semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran program bermula 16 hingga 30 Januari yang lepas.

“Menjadi tuan rumah kepada1000 orang Pegawai muda serta Pegawai Kadet dan 100 orang pegawai PALAPES bukanlah perkara yang mudah, namun saya juga tidak dapat menyangkal keyakinan saya terhadap kekuatan pasukan kita di Kampus Kejuruteraan dan ia telah dibuktikan dengan kelancaran program latihan yang diadakan,” tambahnya.

Program yang melibatkan enam buah universiti awam iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Sains Malaysia (USM) selaku tuan rumah pada tahun ini turut menarik perhatian Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail yang berpuas hati dengan pencapaian program.

Ajutan PALAPES Udara USM, Lt. Angelin P. Saibon Sambion TUDM, pula berkata, kejayaan latihan ini adalah berkat usahasama dan komitmen tidak berbelah bahagi yang telah diberikan oleh semua pihak terlibat.

Lt. Angeline Kampus kejuruteraan Bukti Kemampuan

“Selaku tuan rumah, USM seharusnya berbangga dengan pencapaian terbaik yang telah diberikan,” katanya.

Beliau turut berharap agar program dua hala antara USM dan TUDM dapat diteruskan lagi di masa akan datang.

Turut hadir adalah Penyelaras, Pusat Rancangan Kokurikulum, Dr. Mohd Salman Abu Mansor, Ketua Unit Kesihatan, Dr. Menal A. Hamid, Ketua Unit, Jabatan Keselamatan, Mohd Isshak Mohd Isa dan Ketua Unit Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan, Kampus Kejuruteraan, Asif Abdul Rahim.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Faisal Mohamad

xICON-BAKAL PELAJARixICON-PELAJARxICON-IBUBAPAPELAWATxICON-STAFFxICON-ALUMNI