KOSISWA LANCAR PRODUK MINUMAN COKLAT

 

 DSC7083

PULAU PINANG, 18 April 2017 – Koperasi Siswa USM Kejuruteraan Nibong Tebal Berhad (KOSISWA) telah melancarkan produk minuman coklat Brainy Moo di sini hari ini.

Pelancaran ini adalah selaras dengan Program HiPer@Perintis Usahawan Koperasi yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Kepenggunaan (KPDNKK), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Maktab Koperasi Malaysia (MKM) dan Angkatan Gerakan Koperasi Kebangsaan (ANGKASA).

 DSC7035

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein, pembangunan keusahawan Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan laluan bagi mahasiswa dan mahasiswi untuk mendalami bidang keusahawanan.

“Malah, dasar pembangunan program keusahawanan USM adalah bertujuan untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dan mempunyai pemikiran dengan nilai keusahawanan yang tinggi,” kata Adnan ketika merasmikan program yang berlangsung di Kompleks Cahaya Siswa (KOMCA) ini.

 DSC6997

Beliau turut menyokong sambil menyarankan agar pelajar USM berjinak-jinak dalam usaha untuk menjadi usahawan siswazah yang kelak akan bertindak sebagai salah satu pemangkin kepada kemajuan negara.

“Kita mempunyai matlamat yang besar dalam menghasilkan lebih ramai usahawan di peringkat universiti yang mana keupayaan mereka perlu disemai melalui kursus-kursus asas keusahawanan yang telah disediakan,” tambah Adnan.

Program HiPer@Koperasi Usahawan Koperasi merupakan satu program keusahawanan yang menggalakkan penglibatan semua pelajat IPTA dan kolej-kolej vokasional melalui koperasi institusi masing-masing.

 DSC7022

Pengerusi KOSISWA, Profesor Madya Ahmad Badri Ismail menyatakan bahawa tujuan utama penghasilan produk Brainy Moo ini adalah untuk mewujudkan satu golongan usahawan dikalangan siswazah yang kelak akan menerajui perniagaan mereka sendiri.

“Saya berharap dengan penglibatan bersama pelbagai daripada pihak ini dapat merealisasikan hasrat rakyat, pelajar, alumni dan universiti untuk menghasilkan pelajar yang berteraskan keusahawanan.

Seterusnya, akan menjadi batu loncatan kepada pelajar untuk menjayakan tranformasi ekonomi pelajar,” tambah Ahmad.

 DSC7048

 DSC7060

KOSISWA yang telah mula beroperasi pada 7 Mei 2010 ini merupakan antara enam finalis yang akan ke peringkat akhir dengan mengatasi lebih kurang 177 penyertaan yang dipertaruhkan melalui video-video yang telah dimuat naik.

Turut hadir sama adalah Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA),  Mohd Saad Hj Din, Pengarah Pusat Keusahawanan Universiti, Profesor Dr. Mahmod Sabri  Haron, Pengarah Pusat Pembangunan Sahsiah Pelajar BHEPA, Dr. Nazarudin Zainun dan Penolong Pendaftar Kanan BHEPA Kampus Kejuruteraan, Samsuri Musa.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman

xICON-BAKAL PELAJARixICON-PELAJARxICON-IBUBAPAPELAWATxICON-STAFFxICON-ALUMNI