NC SERU BARISAN MPPUSM JADI PEMIMPIN H.E.B.A.T.

USM, PULAU PINANG, 10 Oktober 2017 - Barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPPUSM) bagi sidang akademik 2017/2018 diseru supaya menjadi pemimpin pelajar yang mempunyai nilai HEBAT iaitu Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate dan Thinking.

Demikian jelas Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail ketika memberi amanatnya dalam Majlis Penyerahan Watikah dan Lafaz Ikrar MPPUSM sidang 2017/2018 di sini, semalam.

Katanya, para pelajar terutamanya pemimpin pelajar hendaklah tidak membataskan diri dengan apa yang ada di dalam negara tetapi perlu bersedia untuk mengambil peluang dalam pelbagai bidang di seluruh pelosok dunia.

“Pemimpin pelajar yang telah diamanahkan untuk menggalas tanggungjawab yang diberikan, mereka haruslah mempunyai visi dan misi yang jelas di samping perlu ketepikan perbezaan ideologi dan persengketaan,” tambahnya.

Di samping itu, Asma turut menyeru supaya MPPUSM terus aktif bukan sahaja dalam bidang sukan mahupun kokurikulum tetapi perlu juga mengadakan persidangan akademik yang boleh melibatkan seluruh Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di seluruh Malaysia.

“Saya berharap, barisan MPPUSM sidang ini akan menganjurkan program-program yang berimpak tinggi dan berkualiti untuk para pelajar contohnya program-program flagship yang dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar,” tambahnya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPPUSM sidang 2017/2018, Ahmad Syafiq Mohd Nasir dalam ucapannya menyambut baik seruan Naib Canselor USM dalam melahirkan pelajar yang berdaya saing dan mampu menempuh cabaran abad ke-21.

“Saya bertekad untuk membawa Majlis Perwakilan Pelajar USM pada sidang kali ini untuk berusaha menzahirkan hasrat universiti melahirkan mahasiswa HEBAT serta membentuk mahasiswa USM yang mempunyai identiti tersendiri di samping meneruskan usaha menjaga kebajikan mahasiswa,” tambahnya.

Barisan MPPUSM bagi sidang 2017/2018 terdiri daripada 45 orang ahli termasuk daripada Kampus Kejuruteraan USM, Kampus Kesihatan USM dan seorang yang mewakili Kampus KLE-USM di India.

Yang hadir sama dalam majlis tersebut Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) USM, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein; Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Professor Dr. Abdul Rahman Mohamed; Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria, Dekan-dekan Pusat Pengajian dan pegawai-pegawai utama universiti.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

xICON-BAKAL PELAJARixICON-PELAJARxICON-IBUBAPAPELAWATxICON-STAFFxICON-ALUMNI