WARGA KAMPUS MERIAHKAN PELANCARAN #USMFIT

DSC 9216 800x600

USM, PULAU PINANG, 2 Mei 2018 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail pagi ini melancarkan Program #USMFIT peringkat Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) bagi mewujudkan warga kampus yang membudayakan aktiviti sukan dan pengamalan gaya hidup sihat.

Lebih 1,000 warga USM termasuk Pengurusan Tertinggi Universiti, staf dan pelajar dari ketiga-tiga kampus tersebut menyahut cabaran #USMFIT apabila turun padang memeriahkan program tersebut yang julung-julung kali diadakan di Stadium Olahraga USM.

31784816 1762659753795050 6053925427854966784 n 800x600

Kehadiran Naib Canselor USM ternyata menaikkan semangat warga kampus untuk terus komited mengamalkan gaya hiduphidup sihat ke arah melahirkan individu yang cergas dan cerdas sekaligus mengamalkan budaya ‘work-life balance’.

Asma dalam ucapannya turut menyuarakan hasrat untuk melihat warga kampus membudayakan gaya hidup sihat seterusnya mewujudkan  rasa lebih gembira dan lebih produktif dalam kalangan staf.

“Kesihatan yang baik akan menaikkan happiness index warga kampus dan ia sekaligus akan dapat menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan prestasi kerja staf serta peningkatan motivasi pelajar dalam aspek pembelajaran.

DSC 9224 800x600

“Selain itu, sukan juga mampu menyatupadukan warga USM, dan pastinya menjadi hasrat dan aspirasi pihak universiti untuk melihat warganya datang bersama sebagai satu keluarga besar yang bersatu hati mengambil bahagian dalam acara-acara sukan yang dipertandingkan,” kata Asma lagi, merujuk kepada Sukan Antara Jabatan (SUKJAP) Empat Penjuru yang melibatkan kempat-empat kampus USM yang sedang berlangsung.

DSC 9288 800x600

DSC 9374 800x600

Sementara itu, Pengarah IPPT merangkap Pengerusi Program #USMFIT USM, Dr. Norehan Mokhtar berkata, beliau amat gembira kerana Program #USMFIT yang merupakan program flagship USM telah mendapat sokongan penuh dari semua pihak terutamanya Pengurusan Tertinggi Universiti, seperti yang dapat dilihat dari pelbagai inisiatif aktiviti fizikal dan sukan yang dilaksanakan secara berterusan oleh pihak Pusat Tanggungjawab.

“Selain menggalakkan setiap warga USM untuk memperkasakan diri dalam penjagaan kesihatan diri dan keluarga melalui aktiviti fizikal dan bersukan serta pemakanan sihat, amalan ini juga dapat mengurangkan risiko mendapat penyakit kronik, sekaligus mengurangkan kos perbelanjaan perubatan dan menjadikan warga USM lebih produktif,” katanya.

DSC 9395 800x600

Pada majlis tersebut juga, Naib Canselor menyampaikan watikah pelantikan kepada 21 Ketua Zon dari ketiga-tiga kampus untuk program #USMFIT.

Pengurusan tertinggi Universiti turut menyertai warga USM dalam pelbagai acara sukan dan rekreasi yang disediakan selepas majlis pelancaran program #USMFIT itu.

Antara yang mencuri perhatian adalah sesi memanaskan badan iaitu zumba dan tai chi; senaman street work-out; acara tarik tali antara Ketua Jabatan dan Setiausaha selain cabaran untuk warga kampus menyertai permainan sukaneka seperti sepak bola ke gawang, woodball, hoki, bola jaring, petanque, sepak takraw dan sebagainya.

DSC 9397 800x600

Antara yang turut hadir ialah suami Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Zakaria; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein; Pengarah Kampus Kejuruteraan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pelancaran Program #USMFIT di Kampus Induk dan Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria; Pendaftar Dr. Musa Ali; Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi, Muhamad Mohd Hanif; pegawai-pegawai utama universiti dan ketua-ketua jabatan.  

Teks: Marziana Mohamed Alias & Tan Ewe Hoe

xICON-BAKAL PELAJARixICON-PELAJARxICON-IBUBAPAPELAWATxICON-STAFFxICON-ALUMNI