MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI, MEDAN KEMESRAAN DAN PERSAUDARAAN WARGA KAMPUS

DSC 1457

NIBONG TEBAL, 4 Julai 2018 – Majlis Sambutan Aidilfitri Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) seharusnya menjadi medan kemesraan dan persaudaraan warganya.

 

Berikut adalah dinyatakan oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dalam ucapannya ketika hadir ke majlis yang dihadiri oleh lebih kurang 1000 orang warga USM itu.

“Menjadi harapan saya agar majlis seperti ini dapat membuka peluang kepada semua warga kampus untuk merapatkan silaturrahim sambil mewujudkan semangat kekeluargaan dan mengukuhkan perpaduan sesama warga kampus yang berbilang bangsa dan kepercayaan.

“Jadikanlah majlis ini sebagai medan untuk kita semarakkan kampus ini dengan suasana kemesraan dan persaudaraan yang berkekalan hendaknya,” tambah Asma.

DSC 1453

DSC 1458

Naib Canselor turut menyampaikan ucapan tahniah beliau kepada semua yang terlibat dalam penganjuran majlis ini.

“Saya berpendapat bahawa untuk menganjurkan acara besar seperti ini bukanlah sesuatu yang mudah.

“Syabas saya ucapkan di atas semangat kerjasama dan kesepakatan semua pihak yang terlibat kerana berjaya menjadikan perjalanan majlis seperti ini meriah dan lancar,” kata beliau lagi.

Dalam kemeriahan sambutan majlis, Asma turut mengambil kesempatan untuk mengingatkan warga kampus agar mengekalkan hasrat universiti dalam melahirkan warga kerja yang sihat dan produktif sejajar dengan program #USMFIT.

DSC 1493

DSC 1489

“Kita memandang serius akan hasrat universiti dalam melahirkan warga yang sihat, ceria dan produktif.

“Memandangkan program ini masih berjalan bersama-sama dengan program “Weight Challenge” yang akan menilai semula berat badan warga kampus selepas ini, saya berharap kita semua dapat mengawal selera makan masing-masing dan fikirkan juga kalori makanan yang akan diambil nanti,” tambah Asma lagi.

DSC 1500

DSC 1482

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan Dan Inovasi, Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed dan ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman

xICON-BAKAL PELAJARixICON-PELAJARxICON-IBUBAPAPELAWATxICON-STAFFxICON-ALUMNI