HACUS tawan CBL

CBL2018 01

HULU DUNGUN, 19 September 2018 – Seramai 35 orang peserta Kelab Pendakian dan Perkhemahan Universiti Sains Malaysia, (HACUS) telah menyertai Ekspedisi Pendakian Gunung Chemerong, Berembun dan Langsir (CBL) 2018 di sini baru-baru ini. HACUS telah mengaturkan program untuk merealisasikan impian menakluki tiga puncak air terjun dan gunung itu selama tiga hari dua malam yang bermula dari 20 hingga 22 hb. September 2018. Peserta ekspedisi terdiri daripada sekumpulan staf, pelajar dan alumni USM dari Kampus Kejuruteraan yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Hekarl Uzir dan Kampus Kesihatan yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Raja Azman Raja Awang atau lebih mesra disapa Dr. RARA.

CBL2018 02

Air terjun Chemerong memiliki ketinggian yang dianggarkan lebih 300 meter, puncak air terjun Langsir berada di paras 750 meter manakala puncak Gunung Berembun pula mencecah ketinggian 1,038 meter dari paras laut berjaya ditakluki dengan sabar, semangat setia kawan dan santai dalam kalangan semua peserta.
Pengarah Program Ekspedisi Pendakian CBL 2018, En. Fadzley Hassan atau lebih dikenali dengan panggilan Palie, turut menyatakan bahawa ekspedisi pada kali ini mencatatkan purata masa pendakian untuk sampai ke puncak setiap gunung itu selama lebih kurang sembilan jam dan ia merupakan sebahagian daripada usaha untuk meneruskan program #USMFit di setiap kampus USM.

CBL2018 03

"Trek ekspedisi ini agak mencabar kerana kecerunannya yang pelbagai, ada 45 darjah dan ada juga 70 darjah selain kami terpaksa melintas dan meredah arus deras sungai kerana cuaca hujan. Semua cabaran ini memberikan kepuasan tersendiri kepada semua peserta setelah berjaya tiba di puncak CBL ini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

CBL2018 04

Aktiviti yang melibatkan air terjun dan gunung sudah tidak asing lagi bagi pendaki kental kerana aktiviti mendaki bagi menawan puncak gunung CBL seperti ini dianggap sebagai aktiviti pelancongan sahaja kepada mereka kerana Hutan Lipur Chemerong ini memiliki daya tarikannya yang tersendiri terutama air sungainya yang sangat jernih serta disulami keindahan flora dan fauna di sekitarnya. Namun, bagi pendaki yang masih baharu dalam dunia pendakian dan tenggelam timbul dalam acara daki-mendaki ini, sememangnya mampu memberikan pengalaman yang agak luar biasa dan mampu mencabar kekuatan fizikal dan mental masing-masing. Menurut Palie lagi, segala halangan dan cabaran berliku yang terpaksa ditempuhi pada sepanjang pendakian dapat menguji ketahanan mental dan fizikal serta mengajar semua peserta agar lebih bersabar dan bijak membawa diri walau di mana mereka berada.

Rentetan Ekspedisi CBL 2018

Ekspedisi Mendaki Gunung CBL selama tiga hari dua malam ini telah memberikan pengalaman yang cukup indah dan bermakna kepada semua peserta. Pada awalnya, peserta ekspedisi ini terdiri daripada 36 orang, akan tetapi kerana kekangan hal peribadi yang tidak dapat dielakkan, Encik Rosmanizam Solehuddin merangkap tukang masak atau ‘chef pujaan’ HACUS terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir dan menjadikan jumlah peserta ekspedisi pada kali ini hanya 35 orang sahaja. Jadi, bermulalah episod ketiadaan chef untuk memasak juadah eksklusif di hutan belantara seperti trip yang dianjurkan HACUS sebelum ini. Bagi peserta yang pernah mengikuti trip pendakian bersama-sama dengan Encik Rosmanizam mesti terasa akan kehilangannya. Kami semua merindui celoteh beliau pada sepanjang ekspedisi ini berlangsung. Peserta ekspedisi pada kali ini majoritinya adalah para pelajar dari Kampus Kesihatan, maka tidak hairanlah trip pada kali ini menjadi trip yang begitu terjaga dari segi kesihatannya. Mereka semua begitu sihat, cergas dan bertenaga menuju ke puncak kerana semuanya muda mudi harapan bangsa berbanding ahli asal HACUS yang sentiasa santai mendaki sambil menyepak daun-daun berguguran di sepanjang ekspedisi. Geli hati juga melihat gelagat masing-masing.

CBL2018 05

Rabu, 19.9.2018

Petang hari Rabu, lebih kurang pukul lima, semua peserta dari Kampus Kejuruteraan berkumpul di Komples Sukan. Semua keperluan diperiksa dan semua peserta terus bergerak menaiki bas USM ke Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, Kelantan. Dalam perjalanan, para peserta sempat singgah di Restoren Salim Kari Kepala Ikan, yang terletak di simpang empat menuju ke Gerik, Perak untuk mengisi perut, solat dan menyegarkan badan buat seketika sebelum meneruskan perjalanan. Pada waktu ini, Encik Rosmanizam masih bersama-sama peserta dan masing-masing teruja untuk membawa misi menakluk puncak CBL.

CBL2018 06

Khamis, 20.9.2018

Tepat pukul 2 pagi, sampailah di Kampus Kesihatan Kubang Kerian. Sesampainya di situ semua peserta dari Kampus Kejuruteraan disambut oleh Prof. Madya Dr. RARA dengan senyuman. Mungkin juga senyuman itu sebagai tanda komrad dari Kampus Kesihatan sudah tidak sabar menunggu masa untuk memulakan episod pendakian pada keesokan harinya. Lalu, perjalanan menaiki bas USM dengan tambahan penumpang dari Kampus Kesihatan menjadikan suasana di dalam bas semakin meriah. Perjalanan diteruskan sehinggalah ke Masjid At-Taqwa, Dungun, Terengganu pada pukul 6 pagi. Di situ, para peserta diagihkan dengan bekalan makanan dan chef pujaan ramai masih sempat menyediakan juadah sebagai bekalan untuk makan tengah hari kepada semua peserta sebelum beliau bergegas pulang kerana keadaan kesihatan anaknya yang tidak mengizinkan. Tanpa melengahkan masa, Palie memberikan sedikit taklimat kepada semua peserta dan sesi suai kenal ringkas diadakan. Kemudian, disusuli taklimat tentang keadaan muka bumi di Hutan Lipur Chemerong daripada Encik Zul yang merupakan ketua guide di situ. Ekspedisi pada kali ini turut disertai oleh dua guide wanita yang hanya mahu dikenali dengan panggilan mesra Kak Zura dan Kak Yati.

CBL2018 07

Berkali-kali guide menasihati semua peserta agar berwaspada dengan kejadian kepala air kerana cuaca hujan dan kepentingan menjaga kebersihan hutan. Di samping itu juga, guide mengingatkan semua peserta agar berwaspada dengan makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan haiwan liar kerana ia juga tinggal di situ. “Seronok boleh tetapi jangan seronok sangat” tambah beliau lagi. Para peserta juga dimaklumkan bahawa pendakian pada kali ini akan dilakukan secara reverse iaitu Chemerong, Langsir dan Berembun (CLB). Bagi memberkati ekspedisi pada kali ini, En. Khairul Zaman Zakaria membacakan doa memohon keselamatan dan kesejahteraan sebelum kami memulakan ekspedisi pendakian pada pukul 11 pagi. Kemudian, semua peserta bergerak ke Hutan Lipur Chemerong dan bermulalah episod pada hari pertama pendakian kami dengan penuh semangat yang menggunung tinggi. Semua peserta terus memecut menuju ke Kem Balak. Di situ, semua peserta menjamu selera dengan bekalan makanan nasi putih, telur dadar dan ikan sardin hasil air tangan kenangan chef pujaan komrad HACUS itu dan semua berehat buat seketika serta solat. Sepanjang pendakian ke Kem Balak, ada peserta yang kekejangan, mungkin kerana kesibukan kerja dan tidak sempat untuk membuat latihan sebelum memulakan pendakian. Pelbagai keluhan yang mencuit hati, namun kaki tetap menghayun langkah tanpa henti. Paling terpahat dalam ingatan apabila melalui laluan pacak menuju ke Bukit Taubat.

CBL2018 08

Nama bukit itu seolah-olah menyuruh semua peserta untuk bertaubat daripada meneruskan pendakian. Seterusnya, tanpa melengahkan masa kami meneruskan pendakian ke Air Terjun Langsir dan berkhemah di situ. Jika ikut tentatif program, para peserta akan berkhemah di Kem Balak, namun dengan kudrat yang masih ada dan keadaan di sekitar Kem Balak yang tidak begitu mengizinkan kerana hujan lebat dan banyak lopak yang ditakungi air, maka para peserta sepakat untuk menambah masa pendakian kerana ingin berkhemah di puncak Gunung Langsir. Tepat pukul empat petang, para peserta menuju ke Puncak Langsir dari Kem Balak. Oleh sebab muda mudi harapan bangsa dari Kampus Kesihatan yang begitu ghairah dengan kelajuan maksimum mereka, Palie memberikan cadangan agar beg yang berat ditukarkan kepada peserta yang mempunyai daya pecutan ala-ala kuasa kuda itu. Cadangan tersebut diterima oleh mereka tanpa sebarang keluhan. Peserta yang sampai ke Puncak Langsir lebih awal bolehlah memasang khemah dan menyalakan api untuk menyediakan juadah santapan malam.

CBL2018 09

Sebelum menyambung pendakian, semua peserta diingatkan lagi tentang keselamatan apabila mendaki dalam keadaan hujan lebat. Suasana hutan yang semakin gelap menaikkan lagi tahap kepayahan episod pendakian pada malam itu. Semua peserta diminta untuk bersiap sedia dengan lampu suluh di kepala masing-masing untuk menyusuri laluan berbatu licin. Syukurlah semua peserta tiba di Puncak Langsir tepat pukul 9.00 malam dengan selamatnya, alhamdulillah.

Jumaat, 21.9.2018

Di Puncak Langsir, para peserta teruja menikmati keindahan ciptaan Yang Maha Kuasa. Alam flora dan fauna yang masih terpelihara cukup memberikan hadiah yang lumanyan setelah penat mendaki hampir 10 jam dari pukul 11 pagi hingga pukul 9 malam pada episod pertama pendakian. Terjaga sahaja dari lena yang panjang, masing-masing bangun dengan segar bagi memulakan episod kedua ekspedisi ini. Sang mentari tersenyum girang dan megah memancarkan sinarnya sehingga semua peserta tidak lekang dengan kamera masing-masing dan tidak putus-putus merakamkan saat indah ketika berada di puncak Gunung Langsir dari sebelum terbitnya mentari hinggalah terbenam dan terbit semula, semuanya dirakamkan. Perut perlu diisi dan masing-masing bergotong-royong menyediakan juadah untuk bersarapan.

CBL2018 10

Cik Hasnira Harun atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Nira pada kali ini mengetuai chef komrad gunung menggantikan Encik Rosmanizam. Makanan yang disediakan cukup menyelerakan dan menunya direka khas secara eksklusif oleh geng HACUS sendiri.

CBL2018 14

Antaranya, cucur bawang mengintai jodoh belanga terpelanting cucur sujud menyembah bumi, nasi daging opocot panasnya neraka dunia, dalca tengok api empuk atau nak kena hempuk, daging cicah air asam picit Kak Nira baru melepas dan pelbagai lagi juadah menarik yang tidak mampu disediakan di mana-mana pelusok dunia yang fana ini. Setelah selesai mengisi perut, kesemua peserta bergerak ke Jeram Lesong dan aktiviti selam menyelam sambil melihat keindahan di dasarnya yang begitu jelas kerana air terjun yang begitu jenih. Istimewanya di situ kerana terdapat lubang batu yang menimbulkan perasaan teruja untuk menyelam sambil melihat batu-batuan yang tersusun di dasarnya. Bagi yang berjaya menyelam dan menyentuh batu yang terdapat di dasar lubang itu diucapkan syabas dan tahniah kerana anda bukan biasa-biasa dan bukan semua orang mampu melakukannya. Aktiviti bermandi-manda itu berakhir sehingga lewat petang.

CBL2018 11

CBL2018 12

CBL2018 13

Episod ekpedisi ini diteruskan lagi pada malam hari. Kak Nira dan Palie sibuk menyediakan santapan malam. Lagi sekali menu luar biasa disediakan dengan matlamat semuanya dimasak dengan api untuk mematikan segala kuman, ia sihat dan bersih untuk dimakan oleh semua peserta. Namun, apakan daya menu utama iaitu gulai ikan masin masih terasa masin ibarat selori garam tertumpah kerana jodohku jodohmu entah ke mana, kubis goreng saiz potongan sebesar ibu jari kaki makan sekali hendak lagi, telur dadar bulat kecil bulat besar potong-potong jodohku di seberang sungai dan air kopi belalai gajah melambai-lambai tiada henti disediakan dengan penuh kasih sayang yang tidak berbelah bahagi.

CBL2018 15

Setelah selesai menjamu selera, aktiviti pada waktu malam diadakan di dalam satu khemah. Aktiviti dimulakan dengan sesi suai kenal sekali lagi bagi mengenali setiap komrad Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan dengan lebih dekat. Aktiviti ini diketuai oleh Puan Aida Shuhaida Mustafa atau lebih mesra dipanggil Kak Aida. Dalam sesi ini, semua peserta berkongsi cerita sepanjang mengikuti Ekspedisi Mendaki Gunung CBL2018 bersama HACUS. Semuanya meluahkan rasa gembira, teruja dan ingin menyertai mana-mana program pendakian yang ingin diadakan lagi selepas ini. Kami bergelak dan ketawa bersama-sama apabila terkenang peristiwa peserta yang berasa seperti hendak habis umur kerana begitu lelah apabila melalui laluan pacak untuk sampai ke puncak Bukit Taubat dan masing-masing berterima kasih dengan semangat setia kawan yang diberikan.

CBL2018 16

Ada yang membantu menyapu minyak urut, ada yang membantu menyemburkan semburan nyah-kekejangan, ada yang membantu membancuh penawar bagi mengubati kekejangan, ada pula yang membantu menggalas beg bagi meringankan beban dan ada juga yang tidak henti-henti memberikan kata-kata semangat untuk terus melangkah menuju ke puncak kejayaan. Jika dikirakan penat, semua akan berasa penat namun, dari situlah semua peserta dapat melihat karakter sebenar para peserta dan mengenali antara satu sama lain dengan lebih mendalam lagi. Setelah selesai episod perkongsian cerita pendakian, ada pula sesi perkongsian cerita meremang bulu roma oleh Cik Hasnira dan Palie. Sungguh menyeramkan!

Sabtu, 22.9.2018

Semua peserta terus bergerak ke Gunung Berembun pada pukul 10 pagi. Sebelum memulakan pendakian ke gunung tertinggi itu, semua peserta bergambar kenangan beramai-ramai dan diberikan taklimat terakhir oleh En. Zul. Di situ, tiada pemandangan yang indah seperti di Air Terjun Langsir. Justeru, pada hari terakhir ini, pendakian diteruskan ke Gunung Berembun, ambil gambar dan terus menuju ke Kem Y. Di Kem Y terdapat pertemuan antara dua sungai yang menjadi daya tarikan bagi setiap pendaki CBL.

CBL2018 17

CBL2018 18

Para peserta sempat memberikan makanan kepada ikan-ikan yang cukup jinak dan ikan-ikan itu menyambut mesra peserta dengan gigitan-gigitan manja sebaik kaki dan tangan dimasukkan perlahan-lahan ke dalam sungai yang begitu jernih. Ikan-ikan itu menggigit kaki dan tangan peserta seperti menghulurkan salam perkenalan. Batu-batuan di dasar sungai itu juga jelas kelihatan kerana kejernihan air dan suasana di situ begitu menyegarkan dan mendamaikan beserta bunyi-bunyian alam. Oh, sungguh terpesona! Di situ juga masing-masing berhenti solat dan bergotong-royong memasak semua bekalan makanan yang masih berbaki. Beg yang terisi ration sebelum ini dikeluarkan dan beban beg semakin ringan sekali gus menjadikan episod terakhir pendakian dan menuruni cerun menjadi lebih laju. Namun, hujan rahmat turun dengan lebatnya semasa di Kem Y dan semua peserta tetap ingin meneruskan perjalanan menuju ke pintu keluar Hutan Lipur Chemerong untuk menamatkan ekspedisi ini. Semua peserta juga terpaksa melintas jeram dengan meniti di atas kayu balak yang berlumut dan batuan yang licin. Tatkala itu, semua peserta perlu meneruskan perjalanan secara berkumpulan bagi mengelakkan sebarang kecelakaan. Tepat pukul empat petang semua peserta berjaya melengkapkan Ekspedisi Mendaki Gunung CBL 2018 secara reverse dengan penuh kesyukuran dan kepuasan. Yang penting, semuanya selamat. Alhamdulillah.

CBL2018 19

Ahad, 23.9.2018
Semua peserta dari Kampus Kejuruteraan selamat sampai ke Kompleks Sukan, Kampus Kejuruteraan, USM pada pukul 12 tengah hari.

“Biar Lambat Asalkan Selamat kerana Tidak Lari Gunung Dikejar”

Peserta Ekspedisi:

Kampus Kejuruteraan:
(1) Ahmad Hazeem Rasedi (Tahun 4-Kejuruteraan Sumber Mineral)
(2) Nik Mohd Harith Nik Hassan (Tahun 4-Kejuruteraan Bahan)
(3) Mohamad Afif Mohamad Fauzi (Tahun 4-Kejuruteraan Bahan)
(4) Muhamad Firdaus Abd Aziz (Tahun 3-Kejuruteraan Mekanikal)
(5) Muhamad Hafiz Roslan (Tahun 3-Kejuruteraan Mekanikal
(6) Muhamad Ali Murtadha Mohamed Hamidi (Tahun 3-Kejuruteraan Sumber Mineral)
(7) Muhamad Basri Rozwira (Tahun 3-Kejuruteraan Polimer)
(8) Mohamad Hafiz Ahmad (Tahun 3-Kejuruteraan Mekatronik)
(9) Isamuddin Mohamed Iqubal (Tahun 4-Kejuruteraan Bahan)
(10) Mohd Fadzley Hassan (Unit Sukan-Kampus Kejuruteraan)
(11) Norhasnira Harun (Kejuruteraan Aeroangkasa)
(12) Khairul Zaman Zakaria (MSc.-Kejuruteraan Polimer)
(13) Aida Shuhaida Mustafa (Pusat Bahasa, Literasi dan Terjemahan)
(14) Bani Faidzzainami Baniyamin (Pejabat Pengarah-Kampus Kejuruteraan)
(15) Muhamad Nor Arif Ahmad (REDAC)
(16) Mohamad Hekarl Uzir (Kejuruteraan Kimia)
(17) Fatin Nur Haziqah Kamarulzaman (Alumni-Kejuruteraan Mekanikal)
(18) Mohd Nor Hafiz Arjunaiti (AIRBUS Group, Alumni-Kejuruteraan Aeroangkasa)

Kampus Kesihatan:
(1) Wan Ahmad Khairul Asmu’i Abdullah (Tahun 3-Dip. Kejururawatan)
(2) Ahmad Muhsi Sulaiman (Tahun 4-Persekitaran & Kesihatan Pekerjaan)
(3) Siti Aishah Abdul Nasir (Tahun 4-Kejururawatan)
(4) Daniel Azwan Hafizal Ahmad Hafiz (Tahun 3-Perubatan)
(5) Anis Shuhaida Abd Rahim (Tahun 2-Dietetik)
(6) Nur Aisyah Mohd Jamil (Tahun 4-Kejururawatan)
(7) Ahmad Izzul Hakimi Mohd Zubir (Tahun 4-Kejururawatan)
(8) Mohamad Aizzat Omar (Tahun 3-Sains Forensik)
(9) Nor Sahira Mohd Salim (Tahun 3-Sains Sukan)
(10) Doncara Soom Chok (Tahun 2-Sains Nutrisi)
(11) Puteri Nur Aisyah Mohd Zamri (Tahun 2-Sains Sukan)
(12) Muhammad Alif Mustafa (Tahun 2-Sains Sukan)
(13) Syed Mohamad Fikri Syed Mansor (Alumni-Perubatan)
(14) Raja Azman Raja Awang (Sains Pergigian)
**Terdapat 3 orang peserta dari Kampus Kesihatan yang nama mereka tidak tersenarai di sini.

Teks: Aida Shuhaida Mustafa
Photo: Fatin Nur Haziqah Kamarulzaman, Doncara Soom Chok dan beberapa orang peserta ekspedisi

xICON-BAKAL PELAJARixICON-PELAJARxICON-IBUBAPAPELAWATxICON-STAFFxICON-ALUMNI