PEMBENTANGAN POSTER LATIHAN INDUSTRI PPKBSM, PELAJAR PAMER SISI BERBEZA

DSC 6189

NIBONG TEBAL, 3 Oktober 2018 – Seramai 126 pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM) Universiti Sains Malaysia (USM) terlibat dalam Program Pembentangan Poster dan memeperlihatkan sisi baharu mereka setelah menamatkan Latihan Industri (LI) masing-masing.

Berucap di hadapan pelajar yang terlibat, Dekan PPKBSM, Profesor Dr. Zuhailawati Hussain menyatakan ucapan tahniah beliau di atas usaha setiap pelajar sekembalinya mereka dari pengalaman dunia pekerjaan sebenar dan seterusnya menyelesaikan pembentangan poster.

“Saya berharap agar setiap manfaat daripada program pembentangan ini tidak hanya terhad kepada pelajar tahun akhir sahaja.

“Semoga ianya juga akan menarik minat para pelajar tahun satu, tahun dua dan tahun tiga yang boleh menjadikan pembentangan ini sebagai contoh untuk mendapatkan idea bagaimana dan di mana mereka akan menjalankan LI kelak,” tambah Zuhailawati.

DSC 6163

Selain itu, beliau turut menggesa agar setiap pelajar mengekalkan keperibadian positif yang telah ditunjukkan sepanjang mereka menjalani LI dan membentuk diri yang baharu sekembalinya mereka ke PPKBSM kali ini.

“Saya percaya pelajar-pelajar yang telah pulang dari LI akan membentuk diri mereka yang segar seiring dengan pengalaman yang telah diperolehi sebagai seorang jurutera yang sebenar.

“Pamerkan sikap yang lebih matang, berketerampilan serta komited dalam dalam menuntut ilmu dan yang paling penting hargai usaha para pensyarah yang telah banyak membantu untuk memastikan kamu menjalani LI di tempat yang terbaik dan menepati keperluan kursus masing-masing,” kata beliau lagi.

DSC 6152

Pembentangan Poster LI PPKBSM telah diadakan sejak tahun 2001 sebagai format baharu bagi menggantikan gaya pembentangan serta penilaian lama yang yang hanya melibatkan penilaian keseluruhan daripada penyelia masing-masing sahaja.

Melalui program yang dijalankan pada semester pertama setiap tahun ini, para pelajar yang menjalani LI perlu menghantar laporan dan buku log sebelum seterusnya membentangkan pengalaman mereka secara dua hala di hadapan tiga orang penilai yang terdiri daripada Pensyarah, Kakitangan serta Pelajar Ijazah Tinggi PPKBSM.

Menurut Timbalan Dekan Akademik, Pelajar dan Alumni PPKBSM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha pula program ini dapat dijadikan medium pembelajaran secara tidak langsung bukan sahaja kepada pembentang itu sendiri, malah kepada mereka yang hadir dalam setiap sesi yang dijalankan terutamanya pelajar lain yang kelak akan melalui fasa yang sama.

DSC 6147

“Malah, apa yang kita perhatikan, sekembalinya pelajar-pelajar ini dari LI, mereka bukan sahaja berubah dari segi pemikiran yang menunjukkan sisi sebagai jurutera yang sebenar malah menjadi lebih beretika dan lebih memahami akan dunia pekerjaan di luar sana,” kata beliau.

“Dalam memastikan setiap pelajarnya dapat menjalani LI yang bermanfaat dan berkualiti, PPKBSM tidak mengehadkan pembelajaran mereka ke arah akademik semata-mata malah, kemahiran komunikasi turut ditekankan sepanjang sesi pembelajaran,” tambah Mariatti.

DSC 6214

DSC 6209 horz

Turut menarik perhatian apabila melalui program ini juga, PPKBSM turut menjadikannya sebagai satu pertandingan untuk menaikkan semangat pelajar yang terlibat di mana melalui tiga kursus utama di pusat pengajian ini, seorang pembentang terbaik akan dipilih sebagai pemenang.

Tahun ini menyaksikan Lew Mei Pei, Arvindhra Rao a/l Kriohnamurthy dan Amirah Azwani Rosli, masing-masing dari Kejuruteraan Bahan, Kejuruteraan Sumber Mineral dan Kejuruteraan Polimer telah dipilih sebagai juara.

xICON-BAKAL PELAJARixICON-PELAJARxICON-IBUBAPAPELAWATxICON-STAFFxICON-ALUMNI