KUNJUNGAN DATUK BANDAR MBSA KE PPKM KUPAS ISU PENGURUSAN SISA PEPEJAL DAN PELUPUSAN DOMESTIK

DSC 6528

NIBONG TEBAL, 12 Oktober 2018 – Kunjungan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan rombongan ke Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik (PPKM), Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia berkongsi kepakaran dalam mengupas dengan lebih lanjut isu Pengurusan Sisa Pepejal dan Pelupusan Domestik bandaraya tersebut.

Datuk Bandar MBSA, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, Shah Alam kini menghasilkan hampir 200, 000 tan metrik sisa pepejal dan domestik dan jutaan ringgit telah diperuntukkan oleh MBSA dalam usaha untuk memastikan kebersihan serta keselesaan penduduk bandaraya ini saban tahun.

“Setelah menjalankan kajian, kami dapati PPKM mempunyai persamaan teknologi serta kepakaran biojisim dan ianya boleh digabungkan dengan sistem-sistem yang sedang digunakan di MBSA untuk membantu menyelesaikan isu ini,” kata Zaharin.

DSC 6481

DSC 6479

“Berbanding dengan teknologi luar negara, penggunaan teknologi kepakaran anak tempatan ini diharap dapat menjimatkan perbelanjaan MBSA dalam pengendalian sisa pepejal dan domestik yang dihasilkan oleh lebih daripada 600 000 penduduknya di masa akan datang,” ujarnya lagi.

Zaharin turut menyatakan akan kesudian beliau untuk melanjutkan kerjasama antara MBSA dan USM di masa akan datang dan beliau akan membentangkan hasil lawatan ini kepada ahli-ahli majlis dalam memastikan perlaksanaanya dapat dijalankan kelak.

DSC 6494

DSC 6534

“Melihat kunjungan kali kedua Datuk Bandar ke kampus bersama-sama dengan reaksi positif serta minat yang ditunjukkan oleh pegawai-pegawai MBSA pada hari ini adalah sesuatu yang sangat membanggakan,” kata Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria.

“Malah, saya berpendapat bahawa penglibatan Datuk Bandar untuk sama-sama turun padang dalam sesi kunjungan seperti ini dapat dijadikan contoh kepada kita semua dan tidak dapat dinafikan ini adalah sebab utama yang membawa MBSA maju ke hadapan selama ini,” tambah beliau.

DSC 6545

DSC 6565

Dekan PPKM, Profesor Dr. Zainal Alimuddin Zainal Alauddin yang mempengerusikan lawatan ini menyatakan matlamat beliau untuk melihat USM dan MBSA bekerjasama dalam membangunkan serta mengkomersilkan Sistem Jana Kuasa Pengurusan Sisa Pepejal ini.

“Antara manfaat sistem ini nanti adalah pengurangan penghasilan sisa pepejal dalam jumlah yang besar di mana pada masa yang sama ianya akan turut dirawat secara berpusat.

“Selain daripada itu, jika kajian berkaitan sistem ini dibangunkan secara menyeluruh dan dipromosikan kepada pengguna dalam skala yang besar, kedua belah pihak juga akan dapat menjana keuntungan daripadanya,” tambah Zainal.

DSC 6600

Melalui kunjungan ini, Datuk Bandar bersama-sama 18 orang pegawai beliau turut dibawa melawat Loji Biojisim di PPKM bernilai RM1.5 juta yang mampu untuk menjana tenaga elektrik sebanyak 200kWh hasil daripada sisa-sisa pepejal, pelupusan serta pertanian.

xICON-BAKAL PELAJARixICON-PELAJARxICON-IBUBAPAPELAWATxICON-STAFFxICON-ALUMNI