LIMA PELAJAR KEJURUTERAAN TERIMA BIASISWA TORAY GROUP (M)

DSC 8080

NIBONG TEBAL, 4 Disember 2018 – Lima orang pelajar dari Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) telah terpilih untuk menerima Biasiswa daripada Toray Group (M) dalam satu majlis yang diadakan di Bilik Seminar Perpustakaan hari ini.

Pengarah Kampus, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria, dalam ucapan beliau menyatakan harapan agar pemilihan ini menjadi permulaan dalam memangkin semangat pelajar-pelajar yang terpilih untuk berusaha dengan lebih keras ke arah kecemerlangan dalam pelajaran dan pekerjaan di masa akan datang.

DSC 8017

DSC 8022 2

“Selain bakat dan kesungguhan, sokongan yang diberikan kepada pelajar kita melalui biasiswa ini juga dapat membuka serta meningkatkan lagi peluang pelajar-pelajar ini untuk menonjolkan potensi diri mereka secara optimum melalui kemahiran-kemahiran yang kelak akan menyumbang kepada tenaga kerja dalam pembangunan negara,” kata beliau.

“Malah, perjanjian ini bukan sahaja bertujuan untuk mengukuhkan lagi kerjasama antara USM-TORAY semata-mata malah ianya turut menjadi simbolik kepada sokongan serta keyakinan dari industri kepada pelajar-pelajar kita di universiti ini,” tambah Azazi.

DSC 8039

Biasiswa Toray Group (M) kepada Pelajar USM mula diperkenalkan sejak tahun 2012 dan sehingga tahun 2018 sejumlah 41 orang pelajar telah menerima tajaan bernilai RM9000.00 setahun ini.

Daripada jumlah ini, lima (5) daripadanya adalah penerima-penerima pada tahun ini yang terdiri daripada dua orang pelajar dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik&Elektronik, dua orang dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia dan seorang dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik.

“Toray Group berbesar hati untuk menyumbang semula kepada masyarakat dan negara melalui dana-dana pendidikan yang disalurkan kerana kami percaya bahawa dunia akan menjadi lebih baik melaluinya,” kata Pengarah Urusan Toray Industries (Malaysia) Sdn. Bhd, Teh Hock Soon.

DSC 8042

DSC 8062

Selain daripada itu,  Teh turut menyatakan bahawa sumbangan kecil ini memberi makna yang cukup besar dalam memainkan peranan beliau sebagai alumni universiti sejak tahun bergraduasi pada 1976.

“Malah, saya berpendapat bahwa alumni perlu sentiasa bersedia untuk kembali berbakti kepada alma mater dalam aspek apa pun demi menghargai jasanya yang telah menjadikan kita sebagai insan berjaya seperti hari ini,” tambah beliau.

DSC 8072

Salah seorang penerima biasiswa, Nor Hairie Ramli (19), berkata bahawa beliau berterima kasih kepada Toray Group (M) dan sangat gembira di atas pemberian biasiswa ini.

“Selain dapat meringankan beban dari segi kewangan, saya sangat teruja untuk mempersiapkan diri diri sebagai salah seorang jurutera di dalam syarikat gergasi ini memandangkan kami akan diambil bekerja sebaik sahaja tamat penganjian nanti.

“Saya juga akan memastikan impian saya untuk mencipta produk yang akan menjamin kelestarian manusia di masa akan datang terlaksana sebaik sahaja mula berkhidmat nanti,” tambah pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia ini.

Turut hadir adalah Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Dr. Azlina Harun@Kamaruddin dan Penolong Ketua Pustakawan Kejuruteraan, Arinawati Ayob.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman

 

xICON-BAKAL PELAJARixICON-PELAJARxICON-IBUBAPAPELAWATxICON-STAFFxICON-ALUMNI